Wednesday, 23 March 2011

Isu:Perkahwinan bawah umur perlu izin mahkamah

Perkahwinan adalah ikatan suci antara lelaki dan wanita selari dengan kejadian manusia berpasangan. Perkahwinan juga sunnah Rasulullah SAW yang patut dituruti setiap umat yang berkemampuan.

Diriwayatkan oleh Aisyah, bermaksud: ” Nabi SAW bersabda: Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.” (Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah)
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW, namun ada perkara yang tidak boleh diketepikan sehingga meminggirkan matlamat menyatukan pasangan lelaki dan wanita.

Antaranya, perkahwinan anak bawah umur yang masih berlaku dalam masyarakat. Mengikut mazhab Syafie, cukup umur atau baligh apabila budak lelaki bermimpi keluar mani dan perempuan didatangi haid ataupun mereka cukup berusia 12 tahun.
Berdasarkan sejarah, Rasulullah SAW menikahi Aisyah yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Diriwayatkan Aisyah yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi mengahwini Aisyah ketika ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, tiada umur khusus ditetapkan untuk berkahwin dan ini bermakna tidak salah berkahwin pada usia muda. Namun, melihat realiti di Malaysia, undang-undang syariah menetapkan had umur minimum untuk berkahwin 18 tahun bagi lelaki dan perempuan (16 tahun).

Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS) memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”
Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur perlu mendapat kelulusan bertulis mahkamah syariah dan tiada perkahwinan boleh dijalankan tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Peruntukan seksyen itu tidak bertentangan dengan pendapat empat mazhab kerana pemerintah atau ulil amri boleh membuat undang-undang demi kepentingan umum.
Hakikatnya, kebenaran mahkamah bertujuan memberi peluang menyelidik latar belakang, keadaan fizikal dan kemampuan pasangan bawah umur yang ingin berkahwin.

Ini bagi menjaga kepentingan kanak-kanak itu kerana perkahwinan bukan perkara main-main dan wali perlu ada asas kukuh untuk mengahwinkan anak gadisnya. Hanya apabila mahkamah berpuas hati kebenaran berkahwin diberi.
Mengikut peruntukan, ‘dalam keadaan tertentu’ bermaksud wali ada alasan kukuh mengahwinkan anaknya yang boleh dipertimbangkan mahkamah sebelum memberi kebenaran. Antaranya anak bermasalah moral dan tidak boleh dikawal.

Dalam keadaan ini, bagi menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus bergelumang maksiat, harus bapa sebagai wali mengahwinkan anaknya.
Segelintir masyarakat mungkin menimbulkan persoalan mengapa umur minimum ditetapkan undang-undang sedangkan Saidatina Aisyah berkahwin pada usia enam tahun dan bersama Rasulullah apabila berusia sembilan tahun.
Saidatina Aisyah antara orang terawal memeluk Islam selain terbabit dalam perang Uhud dan Badar, malah pengetahuan ilmu al-Quran dan hadis membuktikan kematangan walaupun masih muda.
Berbanding remaja hari ini yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, dikhuatiri tidak mampu menangani masalah atau melayari hidup berumah tangga. Umur belasan tahun dalam dunia hari ini adalah waktu mereka bersekolah.
Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan yang haram, tetapi mengandungi tanggungjawab perlu dilaksanakan pasangan yang berkahwin memenuhi tuntutan batin serta keperluan zahir.
tangga, kematangan fikiran perlu bagi menyelesaikan konflik rumah tangga yang dihadapi kelak.

Rentetan daripada tanggungjawab itu boleh menyebabkan tekanan fizikal dan mental apabila mereka gagal menjalankan peranan seperti diharapkan hingga akhirnya menjurus kepada perceraian.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Oleh itu, pihak yang ingin berkahwin termasuk ibu bapa perlu memastikan pasangan bawah umur ini benar-benar bersedia memikul tanggungjawab yang dituntut kepada suami dan isteri supaya perkahwinan memberi kesejahteraan untuk semua.

Dunia Perkahwinan

Cinta Suram Hangatkan Kembali


Segelintir pasangan mungkin lupa untuk membangkitkan rasa cinta yang sudah lama pudar apabila sudah bertahun-tahun mendirikan kebahagiaan.
Ada pula pasangan yang sudah lama mendirikan mahligai, tetapi sering tampil seolah-olah baru saja berkahwin.
Menghargai pasangan sama ada isteri atau suami tidak semestinya memerlukan hadiah yang besar untuk menzahirkan kasih sayang. Cukup sekadar kata-kata manis atau sentiasa senyum biarpun diuji dengan kerenah pasangan yang sering membuat anda makan hati.
Cinta
Berikut petua yang mungkin boleh dijadikan renungan pasangan untuk mengeratkan bahtera perkahwinan. Semoga panduan itu mampu menjadi titik mula yang baru buat anda berdua.
* Duduk bersendirian dan kosongkan fikiran. Cuba kenang semula perasaan pertama dan istimewa yang anda alami ketika awal percintaan dengan pasangan.
Jangan pula terkenangkan bekas kekasih yang sudah tidak memberi sebarang makna. Sekiranya anda masih mengenangnya, bermakna anda cuba mencari masalah.
* Wujudkan perasaan yang sama terutama jika kini anda berada bersama pasangan. Cuba renungkan orang yang sentiasa di hati sehingga si dia rasa pelik dan kurang selesa. Bercakap dengan pasangan dengan penuh romantis dan bisikkan selalu yang anda amat menyenanginya.
Sekiranya pasangan sibuk dan ketika dihubungi dia tidak angkat telefon, tinggalkan pesanan romantik di pesanan suara telefon.
Tidak pun, ambil kertas tulislah sesuatu yang romantik untuknya. Pasti dia akan terkejut dan bangga.
* Carilah masa untuk anda dan pasangan berdua-duaan. Ketika itu jangan bawa anak atau rakan untuk menemani.
Apabila berdua-duaan, ia memudahkan perasaan berkasih sayang antara anda dan pasangan.
Untuk pasangan yang ada anak kecil, jangan jadikan ia sebagai alasan kerana. Minta bantuan pengasuh untuk menjaga anak beberapa jam saja.
Mulakan dengan mengajak pasangan membeli barangan rumah dan laksanakan teknik secara semula jadi. Pasangan anda mungkin tertanya-tanya tetapi apa yang penting, anda berdua bahagia.
* Buat kejutan sekali sekala tetapi jangan buat kejutan negatif yang boleh memudaratkan.
Mungkin anda boleh membeli hadiah kecil tetapi ringkas dan menarik. Jika pasangan tidak tahu menghargai dan masih merungut, biarkan saja dan terus mengkaji isi hati pasangan yang boleh membuatkan dia tersentuh hati dengan penghargaan anda.
Niat yang baik selalunya akan berjaya juga akhirnya.
* Latih diri dan perasaan untuk memandang perkara yang baik mengenai pasangan terutama perkara yang membuatkan anda jatuh cinta padanya buat pertama kali dulu.
Sekurang-kurangnya, cari tiga hingga lima perkara baik pasangan. Kemudian, cuba wujudkan perasaan bangga kerana menjadi suami atau isteri buat pasangan yang istimewa itu. Itu antara cara yang membuatkan anda dan pasangan sentiasa saling menghargai.
Apabila berbual dengan rakan atau saudara mara, selitkan puji-pujian buat pasangan. Jika ada yang memuji pasangan, anda harus menyokong dan mengakui kebenarannya. Ini membuatkan anda lebih sayangkan pasangan dan menyebabkan orang luar memandang tinggi dengan perhubungan anda.
* Tidur dan bangun pagi antara saat paling bermakna dalam hidup masing-masing apatah lagi mereka yang sudah berumah tangga.
Akhiri hari anda dengan ciuman dan peluk pasangan anda sebelum tidur sambil memaafkan segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Apabila mula melayari alam rumah tangga, tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata yang menghargai pasangan.
Ramai yang terlepas pandang perkara ini namun cuba amalkan, anda tentu rasa bahagia dan lega.